Persoalan siapa bakal mengisi jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak terjawab apabila bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed enggan mengulas berhubung perkara itu.

"Saya tidak mahu berbincang mengenai perkara tersebut.

"Kita tunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri," kata Abu Kassim.

Beliau ditemui di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana pagi tadi selepas pertemuan lebih sejam dengan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila ditanya perkara lain yang dibincangkan, Abu Kassim tidak memberi perincian tentang pertemuan tersebut.

"Saya ada memberi pandangan terhadap perkara tertentu," jawabnya ringkas.

BACA: Ketua SPRM baharu akan dilantik - Tun M

BACA: Sah! KP SPRM letak jawatan pagi tadi - Ali Hamsa

Kehadiran Abu Kassim di premis berkenaan yang dilihat memasuki bangunan pada kira-kira 8.30 pagi menimbulkan teka-teki sama ada ia mempunyai kaitan untuk melantiknya semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Ia susulan penamatan perkhidmatan penggantinya Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 14 Mei lepas.

Dzulkifli, 50, pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara, yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 secara pertukaran sementara, kini kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Dr Mahathir berkata beberapa kedudukan dalam kerajaan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan dapat dibuat.