KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, Hassan Abdul Karim menegur Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan kuasanya secara cermat dan tidak terburu-buru dalam menyiasat sesuatu kes.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, beliau bimbang sekiranya kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri boleh menyebabkan berlaku pendakwaan terpilih dan 'memangsakan' parti lawan.

Ini kerana jelas beliau, sejak kebelakangan ini beberapa individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya dimaklumkan media bahawa mantan Menteri Kewangan di zaman Perdana Menteri kelapan dan kesembilan dipanggil dan disiasat SPRM.

"Saya tiada masalah kalau dari segi perundangan maknanya proses biasa agensi penyiasat seperti SPRM, kalau ada perkara-perkara berkaitan (penyelewengan).

"Tetapi saya perlu nyatakan di sini kita perlu berhati-hati seperti disebut dalam Titah Kebawah Duli mengenai tadbir urus.

"Saya di blok kerajaan menyedari kita boleh panggil semua tokoh besar ini (sama ada) menteri, mantan-mantan, atau timbalan menteri sebab kita ada kuasa dan kita adalah badan eksekutif... SPRM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) juga di bawah kerajaan.

"Saya bimbang sekiranya tidak diberi peringatan (kepada Perdana Menteri) boleh berlaku pendakwaan yang terpilih dan parti lawan menjadi mangsa," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Membahaskan lagi, Hassan berkata paling dikhuatiri adalah selain menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Anwar juga memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Bagaimanapun beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya semua siasatan yang dijalankan memiliki asas yang kukuh.

"Saya berterus terang menyatakan yang saya amat bimbang. Kalau dilihat di sini Titah Diraja bahawa kerajaan membanteras rasuah secara agresif dan ada perkataan agresif di situ.

"Jadi yang saya khuatir (tetapi) saya bersangka baik kepada sahabat baik saya iaitu Presiden parti saya (Anwar), beliau mempunyai integriti, kesungguhan dan iltizam untuk membanteras rasuah," katanya.

Hari ini, Tengku Zafrul yang juga  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan beliau telah memberikan keterangan kepada SPRM untuk membantu siasatan berhubung Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Sementara, Muhyiddin sebelum itu memaklumkan telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan dilakukan terhadapnya berhubung projek yang sama.