Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mengarahkan pihak berkuasa melakukan siasatan mendalam terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian kebocoran gas klorin di Kampung Tambak Paya, petang semalam.

Beliau berkata siasatan itu termasuk mengetahui siapa identiti pemilik tujuh tong dram gas klorin yang dibuang di kawasan tanah kebun kampung itu dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak bertanggungjawab.

"Pihak penyiasat tengok nombor siri (tong dram) sudah tahu siapa (pemilik) jadi kita arahkan untuk ketahui siapa tuan punya angkara sehingga gas berbahaya ini boleh ditinggalkan sedemikian rupa di kampung ini, kita nak tahu siapa, di mana dan bila.

"Siasat siapa yang pakai (gas klorin) kilang air batu, kilang proses makanan mungkin pakai jadi kita tengok sebelum ambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan kejadian di kampung itu di sini, tengah malam tadi.

Sehingga pukul 5 pagi ini, 50 orang termasuk empat anggota bomba mendapat rawatan di Hospital Melaka dan Jasin akibat kejadian itu.

Idris berkata pihaknya termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kimia dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah telah diarahkan untuk menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

-- BERNAMA