NATIONAL
Siasatan kes anggota Palapes UiTM meninggal dunia sudah lengkap

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berucap pada majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat hari ini. - Foto BERNAMA
BANTING: Siasatan polis berhubung kematian seorang mahasiswa anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah lengkap dan akan dihantar ke Mahkamah Koroner untuk prosiding inkues.
Ringkasan AI
- Siasatan kematian mahasiswa UiTM lengkap: Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kematian seorang mahasiswa Palapes UiTM dan akan menghantar laporan ke Mahkamah Koroner untuk prosiding inkues.
- Menunggu laporan perubatan: Polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan makmal daripada pihak hospital sebelum meneruskan proses inkues.
- Persiapan menghadapi Monsun Timur Laut: Polis Selangor telah bersiap siaga untuk operasi mencari dan menyelamat serta menjaga keamanan sekiranya berlaku banjir, dengan kemungkinan memanggil balik anggota yang bercuti jika diperlukan.
"Apabila sudah dapat laporan perubatan dan sebagainya, kita akan hantar maklumat berkenaan ke Mahkamah Koroner bagi prosiding inkues," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya telah merakam keterangan 34 individu bagi membantu siasatan kes kematian pelajar anggota Palapes UiTM itu antaranya pegawai jurulatih, pegawai perubatan, pelajar serta pengadu dalam kes tersebut.
Dalam kejadian pada 10 Nov lepas, pelajar UiTM berumur 25 tahun itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan meninggal dunia tiga hari selepas itu.
Dalam pada itu, Hussein berkata pihaknya telah bersiap siaga sejak Oktober lepas bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sama ada dalam aspek operasi mencari dan menyelamat (SAR) atau menjaga keamanan sekiranya berlaku banjir.
"Kita tidak membekukan cuti sepenuhnya bagi anggota dan pegawai tetapi kalau keadaan memerlukan, kita akan panggil balik mereka yang bercuti untuk membantu operasi sekiranya banjir berlaku," katanya.
Terdahulu, Hussein menyempurnakan pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang baharu Supt Mohd Akmalrizal Radzi yang berpindah dan dinaikkan pangkat daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami