Skip to main content

Malaysia

Siasatan SPRM: "Kami akan teruskan proses, tiada apa disembunyikan" – Rafizi Ramli

Putrajaya , 4 Mei 2026. Bekas Menteri Ekonomi , Rafizi Ramli hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam keterangan berhubung siasatan kes alah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM 1.1 billion melibatkan perjanjian kerjasama stratergik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan Syarikat ARM Limited dari United Kingdom.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Rafizi bercakap kepada wartawan sebaik tiba untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

PUTRAJAYA: "Insya-Allah kami akan teruskan dengan prosesnya. We have nothing to hide (kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan) dan jika ia berakhir di mahkamah, saya yakin kami mempunyai kes yang cukup kuat untuk dipertahankan."

Demikian tegas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini pada Isnin.

Advertisement

Menurut beliau, kehadirannya adalah bagi memberi keterangan berhubung siasatan susulan laporan dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Perkasa berkaitan usaha sama kerajaan dengan syarikat semikonduktor antarabangsa, Arm Holdings Inc.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung siasatan itu selain daripada laporan yang dimaklumkan.

"Saya dipanggil untuk memberi keterangan dan pemakluman ini adalah berhubung siasatan satu laporan yang dibuat oleh NGO Perkasa mengenai usaha sama kerajaan dengan syarikat berkenaan.

"Saya tiada maklumat lain selain itu dan kita sedia maklum, di bawah Akta SPRM (2009), selepas memberi keterangan, saya tidak boleh memberikan sebarang ulasan lanjut kepada media," tambahnya.

Rafizi turut memaklumkan, beliau akan memberikan keterangan tanpa kehadiran peguam.

"Because we have nothing to hide (sebab kami tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan) dan saya yakin tiada apa-apa yang memerlukan dirujuk kepada peguam ketika proses keterangan.

"Namun, jika keputusan SPRM adalah untuk mendakwa, kami bersedia mempertahankan kes ini di mahkamah," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, tempoh rakaman keterangan bergantung sepenuhnya kepada pihak penyiasat dan sukar dijangka sama ada ia akan mengambil masa singkat atau panjang.

Katanya, sebarang perkembangan lanjut berhubung kes itu perlu dirujuk kepada SPRM, memandangkan beliau sendiri tidak mengetahui secara terperinci skop siasatan yang dijalankan.

"Semua itu bergantung kepada siasatan SPRM. Saya sendiri tidak pasti dari segi sudut siasatan atau sejauh mana ia dijalankan," katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu dilihat tiba menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Volvo kira-kira pukul 9.30 pagi bagi memberi keterangan berhubung  perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom (UK), Arm Holdings Plc (ARM).

Beliau tiba dengan ditemani lima peguam termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Sam yang kini merupakan peguam bela.

Juga kelihatan kira-kira 50 penyokong Rafizi termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen hadir sejak pukul 9 pagi bagi memberi sokongan.

Rakaman percakapan bekas Timbalan Presiden PKR itu diambil  selepas pembantunya James Chai, diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Selain itu, siasatan tersebut turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada sebuah kementerian.

Sebelum ini, Rafizi dalam satu hantaran di media memaklumkan menerima notis daripada SPRM yang meminta beliau hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, pada Isnin.

Katanya, beliau bersama peguamnya bersedia untuk dirakam keterangan dan membantu siasatan SPRM.

Menurutnya, kes berkenaan akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik kerana ramai pimpinan besar negara akan dipanggil menjadi saksi termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.
 

Must Watch Video