SERIAN: Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan untuk mengangkat Siburan sebagai daerah, sementara Balai Ringin menjadi sub-daerah dalam Bahagian Serian.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu telah persetujui oleh Kabinet.

Menerusi pengisytiharan tersebut, Abang Johari yakin kawasan tersebut akan lebih membangunkan dan memberi peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

"Ia memberi implikasi yang baik, dan sebaik sahaja (Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian dirasmikan), ia akan menyediakan infrastruktur.

"Kawasan ini akan membangun dari segi pertanian moden, penggunaan teknologi dan memudahkan akses ke pasaran. Ia juga memberi faedah kepada ekonomi," kata beliau dalam sidang media, di sini pada Sabtu.

Abang Johari berkata demikian selepas majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, di sini.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian (PPKS) dengan seni bina 'barok' akan menjadi kebanggaan kepada masyarakat Bidayuh.

"Kalau kita lihat struktur bangunan ini yang menggambarkan beberapa karekter, salah satunya ialah bangunan yang mempunyai bulatan menggambarkan connectivity iaitu perhubungan antara kerajaan dengan rakyat.

"Sudah tentu jabatan-jabatan yang ditempatkan di sini dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat di bahagian Serian, dan satunya ialah auditorium yang berasaskan kepada rekabentuk barok yang sinonim dengan masyarakat Bidayuh dan mencerminkan perpaduan dalam mengejar pembangunan dan identiti Bidayuh," ujar Abang Johari.

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, pembinaan kompleks pentadbiran itu menelan kos sekitar RM120 juta akan menjadi nadi kepada pembangunan masyarakat Bidayuh.

"Ini kerana dari masa ke masa peredaran zaman berlaku tetapi saya yakin ia memberi semangat dalam komuniti Bidayuh untuk bergerak bersama ke hadapan," ujarnya.