Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang akan memberikan satu penghormatan rasmi di mahkamah untuk memperingati mendiang Karpal Singh.

Penghormatan yang dinamakan sebagai ‘reference proceedings’ itu akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Kebiasaannya, sidang khas untuk memberi penghormatan ini akan diadakan untuk memperingati peguam-peguam yang meninggal dunia dan ia dibuat serentak dalam satu sesi.

Namun, Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang berkata berbeza dengan Karpal, sidang khas ini mungkin akan dibuat khusus untuk mendiang kerana legasinya dalam bidang guaman.

Keputusan mengenai perkara tersebut hanya akan dibuat selepas selesainya acara pengebumian Karpal pada Ahad ini.

“ Masih terlalu awal untuk memutuskannya. Biarkan semuanya selesai terlebih dahulu. Kami mungkin akan mengadakan satu sidang khas untuk Karpal. Perkara ini akan ditentukan oleh jawatankuasa peguam,” kata pengerusi Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang Abdul Fareed Abdul Gafoor hari ini.

Karpal Singh terkorban dalam kemalangan jalan raya pada 1.10 pagi semalam membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak.

Pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius, 39, turut maut dalam kemalangan itu.

karpal