KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan yang menjual sijil cuti sakit palsu dengan harga RM30 hingga RM50 sekeping di sekitar Kajang, pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, seramai enam individu warga tempatan ditahan dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

"Siasatan awal mendapati, sindiket tersebut telah aktif sejak setahun lalu dan menawarkan penjualan sijil cuti sakit di sekitar Kajang.

"Hasil serbuan itu, polis turut merampas lapan buah telefon bimbit, laptop (1), pendrive (5), buku sijil cuti sakit (6), sijil cuti sakit kerajaan (171), sijil cuti sakit swasta (70), resit rasmi klinik dan barangan lain," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid berkata, kesemua suspek iaitu empat wanita dan dua lelaki berumur lingkungan 26 hingga 51 tahun ditahan reman sehingga 13 Disember untuk membantu siasatan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya majikan untuk membuat semakan dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit itu.

"Orang ramai dan majikan boleh menghubungi hotline IPD Kajang di talian 03-89114242 atau boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Tanaseelan V. Manogaran.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.