MALAYSIA
Sindiket 'counter setting': 27 individu temasuk 18 pegawai penguat kuasa ditahan

Mereka disyaki memberi dan menerima wang rasuah, sebagai balasan memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa ikut prosedur.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dengan sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita yang berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, ditahan dalam satu operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, semalam.
"Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindiket counter setting, yang mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah, sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.
"Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi," menurut sumber itu.Sumber juga memaklumkan SPRM telah membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai melebihi RM1 juta susulan operasi berkenaan.
Selain itu, SPRM telah membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur pagi tadi, dan kesemua suspek kini direman tiga hingga tujuh hari iaitu sehingga 12 hingga 16 Sept ini.
"Selain 18 pegawai agensi penguat kuasa, turut direman ialah lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam", kata sumber itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan itu dan menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami