Sindiket curi kabel tumpas, tujuh lelaki ditahan

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak setahun lepas dan dipercayai mengakibatkan syarikat berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM300,000. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) yang aktif di sekitar ibu negara dengan penahanan tujuh lelaki warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di Setapak, di sini pada Selasa lepas dan semalam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata kumpulan itu dipercayai aktif sejak setahun lepas dan dipercayai mengakibatkan syarikat berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM300,000.
"Serbuan pertama di kawasan Setapak pada 5 pagi Selasa lepas melibatkan enam lelaki tempatan ditahan ketika sedang memotong kabel bawah tanah tanpa sebarang kebenaran atau permit untuk menjalankan pekerjaan daripada pihak TM," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata susulan siasatan daripada tangkapan itu, polis menyerbu sebuah lagi lokasi pada 1.15 tengah hari semalam dan menahan seorang lelaki warga tempatan 42 tahun yang merupakan penjaga tempat tersebut.
"Lokasi itu dipercayai dijadikan tempat memproses kabel curi. Polis merampas 30 batang sarung kabel yang telah dipotong pendek, enam keping pembalut aluminium dan segumpal wayar tembaga dengan anggaran berat 10 kilogram," katanya.
POLIS-KABEL 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Mohamad Lazim berkata siasatan mendapati kumpulan itu akan mengenal pasti lurang (manhole) milik TM sebelum meletakkan kon di kawasan sekitar seolah-olah sedang menjalankan kerja penyelenggaraan.
"Sebahagian suspek akan masuk ke dalam lurang untuk memotong kabel manakala sebahagian lagi menggunakan lori untuk menarik kabel keluar.
"Kabel yang dipotong kemudian dibawa ke lokasi pemprosesan, selalunya berdekatan tapak pembinaan, untuk dibakar bagi mengasingkan tembaga sebelum dijual ke kedai barangan lusuh pada harga kira-kira RM16 sekilogram," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 42 tahun kini direman antara satu hingga tiga hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


