SHAH ALAM:Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah, susulan penahanan enam lelaki tempatan serta rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.4 juta, dalam empat serbuan di sekitar Kota Damansara pada Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, empat serbuan di lokasi berlainan kira-kira pukul 10 pagi itu, dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman hasil risikan pasukan berkenaan.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres dua tingkat di Seksyen 5, polis menemukan 50 bungkusan syabu dianggarkan seberat 51.5 kilogram (kg), serta 262 bungkusan bahan disyaki ‘heroin base’ seberat 98.25 kg disimpan dalam bilik tidur di tingkat bawah.

“Seorang suspek berumur 23 tahun ditahan di rumah berkenaan dan hasil soal siasat membawa kepada tangkapan dua lagi suspek berusia 19 serta 26 tahun, dalam serbuan kedua di satu unit kondominium di Jalan Teknologi, Taman Sains Selangor.

“Pemeriksaan lanjut di unit kondominium itu menemukan tiga bom tangan, selaras senapang dan 140 butir peluru hidup disorok dalam satu kotak di dapur rumah itu. Kita sedang menyiasat sama ada sindiket ini ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noor Azam berkata dalam serbuan ketiga, dua ahli sindiket itu ditahan di sebuah stesen minyak di Persiaran Surian, manakala seorang lagi ditangkap di tepi jalan di Seksyen 5 dalam serbuan keempat.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

“Polis turut menyita tiga kereta jenis Toyota Camry, Honda Accord dan Perodua Bezza selain merampas wang tunai berjumlah RM1,806, tiga utas rantai emas, sembilan bentuk cincin emas dan dua utas jam tangan. Kesemua barangan ini dianggarkan bernilai RM98,162,” katanya.

Noor Azam berkata, lima suspek direman selama empat hari manakala seorang lagi tujuh hari dengan kesemuanya direman bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berlainan, beliau berkata pihaknya menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan merampas 24.39 kg methamphetamine dianggarkan bernilai RM1.09 juta, di tempat letak kereta di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Jumaat lepas.

Katanya, penahanan dua suspek tempatan dan warga Indonesia berumur lingkungan 36 hingga 38 tahun kira-kira pukul 4.30 petang itu, adalah hasil maklumat awam dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios semasa tangkapan berkenaan.

“Siasatan mendapati, lelaki tempatan bersama warga Indonesia tersebut berada di tempat letak kenderaan itu sebelum didatangi seorang lagi suspek menaiki Toyota Vios. Difahamkan, mereka bertemu untuk pemandu itu menyerahkan dadah berkenaan.

“Dadah tersebut diserahkan untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan ia dipercayai diperoleh dari kawasan di utara Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas suspek tempatan mendapati seorang bekerja sebagai pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang dan rakannya mengusahakan pusat cuci kenderaan di Kuala Lumpur, manakala warga asing itu pula merupakan peniaga ikan di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, seorang daripada lelaki tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine, manakala warga Indonesia itu memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Noor Azam berkata ketiga-tiga lelaki itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes berkenaan turut disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA