KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan sindiket pelacuran didalangi pasangan warga asing dalam serbuan di Jalan Kuchai Lama dan Jalan Gelugor di sini pada Selasa lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pada 10.50 malam dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket itu yang dipercayai beroperasi dari dua bulan lepas.
Beliau berkata selain pasangan warga Bangladesh dan Thailand itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai penjaga premis serta 23 warga asing.
“Warga asing itu terdiri daripada masing-masing tiga lelaki Myanmar dan wanita Bangladesh, wanita Indonesia (14), wanita Vietnam (dua) dan wanita Myanmar (seorang) berusia 18 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata semakan awal mendapati kesemua warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini.
Pada operasi itu, JIM menyita empat pasport Bangladesh dan masing-masing satu pasport Thailand serta Indonesia selain telefon bimbit, kondom dan wang tunai RM1,215 disyaki hasil daripada kegiatan tersebut.
“Modus operandi sindiket ialah menjadikan premis kediaman dan premis perniagaan sebagai lokasi menjalankan aktiviti tidak bermoral melibatkan perempuan warga asing sebagai pekerja seks,” katanya.
Zakaria berkata kegiatan itu dipromosikan kepada pelanggan terutama warga Bangladesh di Lembah Klang melalui platform media sosial dengan bayaran antara RM200 hingga RM400 bergantung pada tempoh masa.
Pasangan warga asing itu dipercayai mengawal pergerakan pekerja dengan menyimpan pasport manakala lelaki tempatan berperanan sebagai “kapten” yang mengawal dan menjaga premis itu.
Zakaria berkata tiga suspek itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala siasatan terhadap warga asing lain di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Sebanyak tujuh lelaki tempatan pula diberikan notis untuk membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA