PUTRAJAYA : Berselindung di sebalik perniagaan snuker, dalamnya menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

Namun taktik basi sindiket perjudian itu terbongkar menerusi Operasi Khas dilakukan Jabatan Imigresen pada 28 dan 29 Mac lalu.

Risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas berhasil menahan 15 warga asing termasuk seorang tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan pertama pada Selasa dijalankan di sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker.

Pihak berkuasa berjaya menahan tiga lelaki warganegara Indonesia, seorang lelaki warganegara Bangladesh dan dua wanita warganegara Indonesia.

Suspek yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu tidak memiliki sebarang pas sah bekerja sebagai operator mesin perjudian.

Manakala seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan dipercayai sebagai penyelia dan penjaga kepada premis tersebut.

Susulan operasi pertama, serbuan kedua dilakukan pada 29 Mac lebih kurang jam 10.30 malam di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Dalam operasi itu dalang utama sindiket, iaitu seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 40 tahun yang memiliki pas lawatan sosial, berjaya ditahan.

Suspek yang merupakan suami kepada seorang wanita tempatan dipercayai mempunyai syarikat perkhidmatan yang telah beroperasi hampir dua tahun.

Turut ditahan, enam lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Nepal dan seorang perempuan warganegara Indonesia yang berusia antara 25 dan 40 tahun.

Kesemua yang ditahan bekerja sebagai operator mesin judi di premis tersebut.

“Kita mengesyaki cleaner (pekerja pembersihan) yang atur pekerja-pekerja asing itu. Kita masih siasat lagi apa lagi perniagaannya, sebab pas pekerjanya sudah tidak sah. 

"Mungkin dia sudah lama berada di sini,” kata Ruslin.

Menurutnya, turut dirampas dalam operasi itu, 46 unit komputer pelbagai jenama, 37 pasport dan wang tunai sebanyak RM114,450 yang dipercayai hasil aktiviti perjudian.

Sindiket ini dipercayai mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

Warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, seterusnya ditahan di Depot Imigresen.

Manakala, lelaki tempatan itu telah dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan.