SINGAPURA: Singapura telah menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson, Malaysia, kerana didapati mengandungi biotoksin berbahaya.

Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata ia telah menerima pengesahan daripada Jabatan Perikanan Malaysia mengenai perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pengimport untuk mengesahkan sumber import kupang mereka dan memastikan ia tidak diimport dari kawasan itu.

Agensi itu berkata ia tidak mengesan sebarang biotoksin dalam import makanan laut termasuk kupang, sejak beberapa minggu lepas, tetapi akan terus memantau keadaan, termasuk pemantauan kualiti air di kawasan ternakan.

"Singapura mengimport kupang dari pelbagai negara seperti China, Malaysia, Jepun dan Vietnam.

"Industri ini mampu mendapatkan bekalan mereka daripada pelbagai sumber," katanya dalam satu kenyataan, menjawab pertanyaan media.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia Wan Aznan Abdullah pada Khamis berkata sampel air dan kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya tetapi ia tidak menjejaskan hidupan marin lain.

Sampel air juga diambil di perairan Melaka dan Johor, ia didapati selamat dan tiada penularan alga.

Terdahulu, Jabatan Perikatan Negeri Sembilan dilaporkan telah mengambil sampel kupang dan air di perairan Port Dickson susulan dakwaan berlaku kes keracunan makanan akibat makanan laut.

Jabatan Kesihatan negeri turut memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang dengan dua kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), wad biasa (lima) dan pesakit luar (satu).

-- BERNAMA