KUALA LUMPUR: Lebuh raya perlu berkembang daripada sekadar infrastruktur fizikal kepada ekosistem mobiliti pintar yang lebih selamat, lancar dan cekap, seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan setiap hari yang dianggarkan mencecah enam juta kenderaan di seluruh rangkaian lebuh raya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sehubungan dengan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) komited mempercepat pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar atau Intelligent Transport Systems (ITS).
Beliau berkata pelaksanaannya akan dipandu oleh Pelan Hala Tuju Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia 2030 atau Malaysia ITS Roadmap 2030, yang merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, Internet benda (IoT), pengurusan lorong dinamik, maklumat perjalanan masa nyata serta pusat pengurusan trafik bersepadu.
“Dalam hal ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan mengawal selia dan menyelaras pengoperasian lebuh raya bertol, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab terhadap pembangunan, pengurusan dan penyenggaraan jalan Persekutuan.
“Matlamat kita jelas bagi memastikan teknologi yang diterapkan memberikan manfaat nyata kepada rakyat, khususnya daripada aspek keselamatan, kelancaran dan kualiti perjalanan,” katanya ketika merasmikan Pusat Kawalan Trafik Kumpulan Tol IJM di sini, hari ini.
Nanta berkata Pusat Pengurusan Trafik atau Traffic Management Centre (TMC) merupakan nadi pengurusan lebuh raya pintar dengan mengintegrasikan pemantauan trafik, pengesanan insiden dan penyelarasan tindakan dengan pihak berkaitan.
Menerusi TMC LLM, keadaan trafik dipantau 24 jam melalui 873 rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan 278 Variable Message Sign (VMS) atau Paparan Maklumat Boleh Ubah, yang membolehkan kejadian seperti kemalangan, kenderaan rosak, objek di atas jalan, penutupan lorong dan kesesakan luar biasa dikesan dengan lebih awal.
“Penyelarasan TMC LLM dengan pusat pengurusan trafik syarikat konsesi amat penting, khususnya ketika waktu puncak, musim perayaan, kemalangan besar, bencana dan cuaca buruk.
“Data trafik juga boleh dianalisis bagi mengenal pasti pola kesesakan dan lokasi berisiko untuk membantu perancangan pengurusan lorong, penempatan pasukan peronda, penyenggaraan aset dan peningkatan kapasiti lebuh raya,” katanya.
Nanta berkata berdasarkan data Malaysian Highway Road Accident Database System (MHROADS), sebanyak 26,675 kes kemalangan direkodkan di lebuh raya bertol pada 2025, termasuk 839 kes kemalangan maut, dengan 85.4 peratus berpunca daripada faktor manusia, manakala 14.6 peratus melibatkan faktor kenderaan dan persekitaran.
Beliau berkata transformasi lebuh raya pintar memerlukan kerjasama antara KKR, LLM, syarikat konsesi, agensi penguat kuasa, pasukan kecemasan dan pemain teknologi.
Sementara itu, dalam sidang media Nanta menegaskan bahawa tiada pegawai atau petugas peronda lebuh raya akan diberhentikan susulan pelaksanaan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar.
Beliau berkata pelaksanaan pusat berkenaan bertujuan memperkukuh pengurusan trafik secara lebih pintar, selamat dan responsif selain membolehkan tindak balas pasukan rondaan lebih efektif daripada lebih 15 minit kepada antara lapan hingga 10 minit.
Mengenai peralihan Malaysia ke arah sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF), Nanta berkata perkara itu masih dalam perbincangan dengan hampir semua syarikat konsesi lebuh raya.
Selain itu, beliau menyambut baik usaha IJM memperkenalkan Program Keselamatan Lebuh Raya Realiti Maya (VR) bagi memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan pelajar sebagai langkah pendidikan awal mencegah kemalangan.
-- BERNAMA