Skip to main content

Malaysia

Sistem paten telus penting lindungi biodiversiti, pengetahuan tradisional - MyIPO

https://www.facebook.com/photo?fbid=1383434787307861&set=pcb.1383435903974416
Yusnieza Syarmila berucap pada Seminar Kebangsaan mengenai Triti WIPO berkaitan Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional 2026 di Menara MyIPO, Petaling Jaya. - Gambar Facebook Intellectual Property Corporation of Malaysia (MyIPO)
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kekayaan biodiversiti dan pengetahuan tradisional negara perlu dilindungi menerusi sistem paten telus dan berkualiti khususnya melibatkan sumber genetik yang mempunyai nilai penyelidikan serta potensi komersial.

Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff berkata pendekatan itu penting bagi mengurangkan risiko pemberian paten tidak wajar, selain melindungi sumber genetik dan pengetahuan tradisional komuniti daripada eksploitasi secara komersial tanpa pengiktirafan sewajarnya.

“Tumbuhan tempatan seperti tongkat ali dan kacip fatimah merupakan antara contoh sumber genetik yang mempunyai nilai penyelidikan dan potensi komersial serta berkait rapat dengan pengetahuan tradisional masyarakat tempatan.

“Oleh itu, sumber dan pengetahuan digunakan dalam pembangunan sesuatu ciptaan perlu dikenal pasti dan diiktiraf dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di bawah Triti World Intellectual Property Organization (WIPO) berkaitan Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional (WIPO GRATK), pemohon paten bagi ciptaan berasaskan sumber genetik perlu menyatakan negara asal atau sumber bahan berkenaan.

Selain itu katanya, pemohon juga perlu menyatakan masyarakat Orang Asal atau komuniti tempatan yang menjadi sumber pengetahuan tradisional berkaitan bagi memastikan sumber genetik dan pengetahuan tradisional itu diakses secara sah.

“Triti WIPO GRATK diterima pakai secara konsensus oleh negara anggota WIPO pada 24 Mei 2024 selepas melalui rundingan 25 tahun dan merupakan perjanjian WIPO pertama yang mengiktiraf secara jelas peranan dan sumbangan masyarakat Orang Asal serta komuniti tempatan dalam sistem harta intelek.

“Perkembangan itu memerlukan kefahaman menyeluruh dalam kalangan pembuat dasar, pentadbiran paten, penyelidik, pemain industri serta pihak terlibat dalam pengurusan biodiversiti dan pengetahuan tradisional,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Yusnieza Syarmila berkata MyIPO akan terus mempergiat libat urus dan pembangunan kapasiti bersama kementerian, agensi, kerajaan negeri, institusi penyelidikan, industri, masyarakat Orang Asal serta komuniti tempatan bagi memastikan perkembangan berkaitan triti itu difahami secara menyeluruh dan kepentingan negara terus dipelihara.

Terdahulu, MyIPO menganjurkan Seminar Kebangsaan mengenai Triti WIPO berkaitan Sumber Genetik dan Pengetahuan Tradisional 2026 di Menara MyIPO, Petaling Jaya bagi meningkatkan kefahaman serta memperkukuh keupayaan negara dalam menghadapi perkembangan baharu perlindungan sumber genetik berkaitan pengetahuan tradisional, khususnya menerusi sistem paten antarabangsa.

Seminar itu menghimpunkan pakar daripada WIPO, The Council of Scientific and Industrial Research (CSIR) India serta wakil agensi Persekutuan dan negeri bagi membincangkan perlindungan pengetahuan tradisional dan sumber genetik, kerangka akses dan perkongsian faedah serta amalan terbaik dalam pengurusan khazanah biodiversiti.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement