KUALA LUMPUR:Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menghargai sumbangan masyarakat Cina khususnya dalam membangunkan modal insan di negeri itu.

Beliau mengambil contoh bagaimana kaum Cina mementingkan pendidikan anak-anak mereka.

“Kaum-kaum lain harus merenung sejenak bagaimana masyarakat Cina begitu mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka.

“Di mana sahaja ada penempatan kaum Cina, di situ juga ada sekolah,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2021.

Tambah Abang Johari, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut meneruskan bantuan tahunan kepada 14 buah sekolah menengah persendirian Cina di seluruh Sarawak.

Dalam perutusan itu juga Abang Johari menekankan mengenai penglibatan ramai pelajar Bumiputera di sekolah persendirian Cina.

Justeru, katanya sokongan kerajaan negeri amat penting kerana sekolah Cina memberi sumbangan besar terutamanya dalam konteks ekonomi serantau yang dikuasai ekonomi negara China.

“Baru-baru ini saya telah menyerahkan geran Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta untuk tujuan tersebut.

“Kerajaan negeri juga memberi bantuan kepada sekolah-sekolah rendah Cina di mana sehingga 60 peratus pelajarnya adalah kaum Bumiputera,” ujarnya.