Pelaksanaan sistem jawatankuasa pilihan raya yang bebas adalah sesuatu yang sukar jika individu yang terbabit tidak mempunyai kemahuan yang kuat untuk melaksanakannya.

Itu yang ditegaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun yang menyifatkan kewujudan perancangan dan rangka kerja hanyalah sebagai satu bentuk sokongan tambahan kepada sistem yang ada.

"Memang ada penambahbaikan yang boleh dilakukan apabila kita bercakap tentang ketelusan dan kebebasan sistem pilihanraya. Tetapi itu tidak bermakna apa yang ada sekarang tidak menggalakkan ketelusan dan kebebasan.

"Tetapi apa pun sistem yang kita terapkan, jika individu yang terlibat tidak ada kemahuan ke arah itu, ia tetap sukar dilaksanakan," katanya.

Azhar berkata demikian ketika ditemuramah dalam program bual bicara Let's Talk with Sharaad Khutan yang bersiaran di Astro AWANI, pada Jumaat.

Ditanya apa sebenarnya dimahukan rakyat Malaysia dalam merealisasikan sebuah badan dan sistem pilihanraya yang bebas dan berintegriti, kata Art, ia merupakan satu penilaian yang membabitkan banyak aspek, antaranya latar belakang mereka.

"Masyarakat di kawasan bandar mahukan demokrasi dan kesaksamaan, manakala di luar bandar mementingkan hal personaliti, agama, bangsa dan kepentingan peribadi.

"Ia bukan satu perkara yang mudah untuk ditentukan," ujarnya lagi.