KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah memanggil Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar Khamis ini untuk memberi keterangan dalam prosiding berhubung isu pengurusan dana latihan dan keberkesanan Program Latihan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Sivakumar dalam kenyataan hari ini berkata beliau dipangil ke prosiding berkenaan kerana HRD Corp merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia (KSM), dan beliau memberi jaminan bahawa KSM akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Beliau berkata adalah wajar baginya memberikan keterangan kepada PAC berhubung beberapa prosedur dan operasi HRD Corp yang akan membantu dalam proses siasatan berkenaan.

"Bagi sesi prosiding ini, saya diminta untuk memberikan penjelasan dan pencerahan mengenai pengurusan dana untuk tujuan latihan dan keberkesanan latihan yang dijalankan oleh HRD Corp.

"Saya menggesa semua pihak untuk menghormati prosiding ini dengan sewajarnya dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan serta mempengaruhi peranan PAC dalam proses siasatan ini," katanya.

Sivakumar menjelaskan PAC merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan bawah Parlimen dan beliau memahami peranan utama jawatankuasa itu ialah memeriksa dan memantau tadbir urus kewangan negara bagi memastikan ketelusan pengurusan dan pentadbiran kewangan negara diurus secara baik.

Beliau berkata semua prosiding yang diadakan adalah satu proses yang perlu dilalui oleh mana-mana kementerian.

Semalam, Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata PAC akan mendapatkan keterangan Sivakumar kerana namanya disebut di dalam prosiding pertama Isnin lepas manakala seorang lagi saksi iaitu wakil Kementerian Kewangan (MoF) di dalam HRD Corp yang dilantik oleh MoF, akan diminta memberi penjelasan pada Rabu.

-- BERNAMA