GEORGE TOWN: Nelayan Pulau Pinang Selatan yang belum membuat pendaftaran skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) di bawah projek tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI) diminta berbuat demikian sebelum tarikh akhir pada 31 Mac ini.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata setakat ini seramai 678 orang nelayan daripada tahap satu dan tahap dua telah mendaftar termasuk 256 tekong daripada tahap satu bagi bantuan bot.

Daripada jumlah tersebut katanya seramai 20 orang nelayan telah berjaya memperolehi lesen jurumudi, 32 orang anak nelayan menerima hadiah kecemerlangan dan hadiah kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) manakala 43 orang anak nelayan lagi telah mendaftar untuk menghadiri tuisyen melalui Program Jaya Didik.

"Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 7 Feb telah memutuskan tarikh akhir pendaftaran untuk skim SIMP yang ditawarkan adalah pada 31 Mac 2024. Ini adalah kerana persediaan bayaran ex-gratia dan penyediaan bot serta kelengkapan akan memerlukan masa untuk disiapkan sedangkan kerja-kerja tambakan Pulau Silikon telah dimulakan pada 1 Sept 2023.

"Justeru, para nelayan di unit-unit yang terlibat yang belum mendaftar untuk tawaran skim SIMP dialu-alukan untuk berbuat demikian sebelum tarikh akhir pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendaftaran boleh dilakukan di Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) iaitu di Sungai Batu, Permatang Tepi Laut atau Gertak Sanggul.

Menurut kenyataan itu tahap satu melibatkan nelayan yang terkesan secara langsung dengan projek PSI di empat kawasan iaitu Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul, manakala tahap dua melibatkan kategori nelayan yang kurang menerima impak projek PSI di lima lima kawasan iaitu Teluk Tempoyak, Batu Maung, Seri Jerejak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung.

Tekong dan awak-awak dari unit tahap satu masing-masing menerima RM20,000 dan RM12,960 manakala bagi tahap dua, akan menerima RM13,200 dan RM5,400.

Tekong tahap satu juga ditawarkan bot sepanjang 8.2 meter dan enjin berkuasa kuda 60 atau 75.

Mohamad berkata skim SIMP menunjukkan komitmen dan hasrat kerajaan negeri ke arah pembangunan mampan selaras dengan visi Penang2030 dan adaptasi konsep Malaysia MADANI yang akan terus membawa manfaat yang besar kepada nelayan dan masyarakat setempat.

-- BERNAMA