KUALA LUMPUR : Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Ampang ditutup selama dua hari bermula 26 April.

Tinjauan Astro AWANI mendapati notis mengenai penutupan itu digantung di pagar utama sekolah terbabit.

"Sekolah di tutup mulai 26 April 2021 sehingga 27 April 2021.

"Sekolah akan dibuka semula pada 28 April 2021, harap maklum," jelas notis berkenaan.

Sekolah terbabit antara yang termasuk dalam senarai 79 buah sekolah diarah tutup yang tular pada Isnin.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya juga mendapati sekolah itu ditutup.

Notis penutupan itu ditampal di pintu pagar utama sekolah berkenaan.

"Sekolah tutup 26-27 April 2021," tulisan pada notis itu.



BACA: Penutupan sekolah: KPM perlu kerap buat sidang media, tingkat komunikasi efisien - NUTP

BACA: COVID-19: 79 sekolah di Selangor diarah tutup dua hari


Perbualan dengan beberapa pegawal keselamatan di sekolah terbabit turut memaklumkan bahawa masih ada murid yang datang ke sekolah pada pagi Isnin kerana tidak mengetahui arahan terbaharu itu.

Difahamkan, sebuah sekolah di Bandar Kinrara, Puchong yang turut ditutup hari ini.

Dalam pada itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman memaklumkan penutupan sekolah itu selama dua hari.

Pengesahan itu dimaklumkan menerusi entri di laman Facebooknya pada Isnin.

Tempoh dua hari penutupan itu bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan susulan terdapat kes COVID-19 di sekolah berkenaan.

Astro AWANI masih menunggu sebarang maklumat lanjut dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berhubung senarai 79 buah sekolah ditutup hari ini.