Kerajaan negeri masih memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) perlombongan bauksit, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, SOP yang telah diperkasa akan diumumkan selepas proses penelitian selesai.

Beliau yang ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Sekampung di Felda Sungai Koyan di sini pada Jumaat ditanya mengenai perkembangan terkini proses memperkasa SOP perlombongan bauksit seperti yang diputuskan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bulan lepas.

Pada 22 Feb lalu, mesyuarat mengenai perkara itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Zurinah Pawanteh memutuskan SOP perlu diperkasa sebelum tempoh moratorium tamat.

Pada 18 Feb lalu, Menteri berkenaan Dr Xavier Jayakumar mengumumkan bahawa tempoh moratorium bauksit yang bermula pada 15 Jan 2016 dan akan tamat pada 31 Mac ini tidak akan disambung.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata perlombongan bauksit hanya boleh dibenarkan beroperasi semula dengan SOP lebih ketat bagi memastikan aktiviti itu tidak mencemarkan alam sekitar seperti yang berlaku sebelum ini.

Pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk kebimbangan persatuan alam sekitar dan penduduk di Kuantan tentang kehidupan mereka akan kembali berdebu dan seperti berada di 'Planet Marikh' jika perlombongan bauksit kembali beroperasi.

-- BERNAMA