KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mineral bagi unsur nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) di projek perintis di Gerik, Perak.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, di Malaysia setakat ini, belum terdapat SOP jelas mengenai pengurusan mineral berbentuk NRREE.

"SOP ini akan diperluaskan di semua negeri... menunggu masa sahaja untuk dimuktamadkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi KeTSA di Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 18 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan itu yang menyaksikan Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,120,915,300 yang diperuntuk kepada KeTSA dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

Terdahulu Dewan Rakyat turut meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM622,025,400 kepada Kementerian Belia dan Sukan selepas 16 Ahli Parlimen turut serta dalam perbahasan bagi kementerian itu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - BERNAMA