KUALA LUMPUR: Semua 401,105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bakal menduduki peperiksaan itu bermula Isnin, diingatkan sentiasa mematuhi Garis Panduan Pengurusan 2 dan Pengoperasian Sekolah Dalam Normal Baharu 2.0 serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ini bagi memastikan kelancaran peperiksaan serta mencegah penularan COVID-19.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan semalam turut mengingatkan, semua calon merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

"Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my.

"Calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan," demikian menurut kenyataan itu.

Lembaga Peperiksaan turut memberitahu bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik untuk bertugas di 3,310 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Peperiksaan SPM 2020 akan berlangsung bermula 22 Feb hingga 25 Mac.

-- BERNAMA