KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Mesyuarat Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-22 bagi memperkukuh kolaborasi dan usaha pencegahan rasuah di Asia Tenggara dari 28 hingga 30 Julai ini di Melaka.
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM Datuk Rasidah Abdul Karim berkata mesyuarat itu akan dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman.
Beliau berkata mesyuarat itu bakal menghimpunkan delegasi daripada agensi antirasuah negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
“Selain itu, delegasi daripada organisasi antarabangsa iaitu Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA), Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Perdana International Anti-Corruption Champion Foundation (PIACCF).
“Mesyuarat ini merupakan pertemuan peringkat serantau Asia Tenggara yang kedua dianjurkan oleh SPRM sempena tempoh kepengerusian ASEAN-PAC bagi penggal 2025–2026, selepas kejayaan penganjuran Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC pada Oktober tahun lalu,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.
Rasidah berkata melalui platform itu, usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah dapat diperkasa menerusi perkongsian amalan baik, pembangunan kapasiti institusi serta tindakan kolektif selaras dengan rangka kerja antarabangsa yang seterusnya menyumbang kepada pemerkasaan nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus baik di peringkat serantau.
“Mesyuarat itu juga menyediakan ruang kepada agensi antirasuah negara-negara anggota ASEAN untuk membincangkan cabaran rasuah yang semakin berkembang, berkongsi pengalaman dan pendekatan inovatif serta memperluas kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan integriti,” katanya.
Beliau berkata turut diadakan seminar bertajuk Integrity in Major-Infrastructure Projects yang akan menjadi platform untuk membincangkan aspek pemerkasaan integriti, pengurusan risiko rasuah dan pengukuhan tadbir urus dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
“Selain itu, para peserta juga berpeluang menyertai Program Hospitaliti yang memberi peluang kepada delegasi luar negara untuk mengenali warisan budaya Malaysia di samping mengukuhkan jaringan profesional serta hubungan kerjasama antara anggota ASEAN-PAC dan rakan strategik,” katanya.
Rasidah berkata penganjuran mesyuarat itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antirasuah di peringkat serantau dan antarabangsa selaras dengan peranan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antara agensi antirasuah negara anggota.
-- BERNAMA