SPRM bangunkan sistem perolehan berasaskan AI, Johor antara negeri perintis

Azam (kiri) dan Onn Hafiz ketika hadir pada Sesi Libat Urus SPRM Bersama ADUN Johor di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, semalam. - Foto SPRM
ISKANDAR PUTERI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan sistem perolehan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan ketelusan dan ketulusan dalam urusan kerajaan yang akan diuji di Johor dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Johor yang pesat membangun perlu memberi tumpuan kepada isu integriti kerana negeri yang aktif dalam pembangunan ekonomi berisiko tinggi berdepan kes rasuah berskala besar.
"SPRM sentiasa bersedia membantu kerajaan negeri memperkukuh tadbir urus dan memastikan integriti dalam setiap pelaksanaan dasar," katanya.
Azam berkata demikian pada Sesi Libat Urus SPRM Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini dan perkara itu dikongsikan SPRM menerusi kenyataan semalam.Sesi libat urus itu diadakan berpandukan Substrategi 13, Strategi 3: Suara Rakyat di bawah kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
Kenyataan sama memaklumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan SPRM dalam memperkukuh integriti dan meningkatkan kepercayaan pelabur terhadap negeri itu.
"Kerajaan negeri bersama-sama barisan Exco dan semua ADUN akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada SPRM demi memastikan Johor terus berada pada landasan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti.
"Kehadiran SPRM ke Johor merupakan peluang penting untuk menambah baik sistem pentadbiran negeri khususnya dalam aspek integriti dan kecekapan," katanya.
Onn Hafiz berkata pihaknya menyokong kempen Keep Malaysia Clean (KMC) yang selari dengan aspirasi Johor dan Malaysia MADANI.
"Kalau SPRM ada KMC, di Johor kita boleh bawa semangat Keep Johor Clean (KJC). Ia selaras dengan hasrat kita membangunkan negeri berteraskan integriti dan tadbir urus baik," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami