Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan kerajaan Johor bagi mengkaji kelemahan yang terdapat dalam sistem dan prosedur tatacara pengurusan kewangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata kerjasama itu penting untuk melakar prosedur operasi standard JAINJ khususnya dalam pengurusan kewangan agar ketirisan dapat dielakkan pada masa akan datang.

"Saya percaya ia dapat menutup ruang dan peluang daripada berlakunya ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan.

"Selain itu, bahagian pemeriksaan dan perundingan SPRM Johor akan berbincang dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor bagi mengkaji kelemahan sistem dan prosedur berhubung sistem dan prosedur tatacara pengurusan kewangan JAINJ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas tangkapan empat pegawai agama oleh SPRM Johor baru-baru ini kerana dipercayai terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

"Selepas SPRM mengkaji kelemahan-kelemahan yang wujud, pihak SPRM akan memperakukan cadangan serta nasihat bagi mengambil langkah-langkah wajar untuk mengatasinya kelak.

"Saya berharap kerjasama ini akan membuka ruang kepada agensi-agensi lain untuk turut bekerjasama dengan SPRM bagi membendung perbuatan salah guna kuasa dan penyelewengan sekaligus memperkukuhkan lagi tatacara kerja dalam agensi atau organisasi mereka," katanya.

Pada Isnin lepas, SPRM Johor menahan dua pegawai JAINJ, kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Seorang ketua penolong pengarah dan seorang lagi penolong pegawai Bahagian Undang-undang Syariah JAINJ ditahan selepas didapati menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan permit penganjuran kursus praperkahwinan tanpa melalui prosedur.

-- BERNAMA