KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan mangsa-mangsa penipuan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu yang ditumpaskan awal bulan ini.

Menurut sumber, difahamkan mangsa-mangsa ini telah diperdaya oleh seorang lelaki yang merupakan pemegang jawatan utama dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Lelaki tersebut telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini, namun agensi penguat kuasa terbabit memerlukan mangsa-mangsa lain untuk tampil membantu siasatan," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya telah mengenal pasti tujuh mangsa sindiket tersebut dengan lima daripada mereka telah tampil memberi keterangan.

"Pihak kami percaya masih ada beberapa mangsa yang perlu tampil untuk membantu melengkapkan siasatan," ujarnya.

Sehubungan itu, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Muhammad Aiman Jamil di talian 03-88700473 atau 017-2820484.

Awal bulan ini, SPRM menahan reman enam individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan Darjah Kebesaran Pingat Persekutuan palsu.

Bayaran yang dikenakan berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000; Datuk Seri (RM250,000) manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.

Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan ini sejak 2020 dan memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan.

Ia bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang ini adalah benar-benar tulen.