Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berharap keyakinan rakyat terhadap agensi itu dapat ditingkatkan pada tahap 70 peratus tahun ini.

Ia berikutan kemampuan SPRM untuk menyelesaikan kes rasuah yang disiasat pada tahun yang sama, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah kes yang diselesaikan meningkat saban tahun.

"Selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tumpuan pemeriksaan dibuat terhadap isu-isu nasional dan mempunyai kepentingan awam.

"Malah, selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM, tahun 2014 memperlihatkan kejayaan SPRM membongkar penyelewengan kes-kes bersindiket yang melibatkan isu nasional, antaranya kes penyelewengan bantuan khas kepada nelayan di Terengganu dan pembalakan haram di Sarawak," kata kenyataan itu.

Sepanjang 2014, SPRM sudah membuka 919 kertas siasatan dan dapat menyelesaikan 85 peratus atau 781 kes.

Daripada 919 kertas siasatan yang dibuka pada tahun 2014, 326 (35.5 peratus) membabitkan kesalahan menerima rasuah, 159 (17.3 peratus) kesalahan memberi rasuah, 283 (30.8 peratus) kesalahan tuntutan palsu, 69 (7.5 peratus) kesalahan salah guna kedudukan, 82 (8.9 peratus) lain-lain kesalahan.

Pada 2013, SPRM mencatatkan kadar 81.6 peratus penyelesaian kes manakala pada 2012, sebanyak 75 peratus.

Peningkatan positif penyelesaian kes secara berterusan itu adalah hasil pelaksanaan program transformasi secara menyeluruh.

Antaranya melalui pelaksanaan pendekatan Pengurusan Siasatan Berpasukan (MTI) yang merupakan salah satu inisiatif diamalkan susulan program transformasi sektor operasi.

Dalam pada itu, SPRM turut berbangga kerana jumlah pertuduhan yang dibawa ke mahkamah telah meningkat dari 289 pada 2013 kepada 317 pada 2014.

Jumlah denda yang dikenakan mahkamah ke atas pesalah rasuah turut meningkat kepada RM13 juta berbanding RM11.6 juta pada 2013.

Tambah SPRM lagi, pencapaian dalam kadar sabitan masih berada di paras yang baik iaitu 78 peratus berbanding 54 peratus ketika SPRM dibentuk pada 2009.

Dalam pada itu, aset bernilai RM2.8 juta juga berjaya dilucuthakkan tahun lalu.

"Masyarakat meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas SPRM. Bagi Pengurusan Tertinggi SPRM, harapan masyarakat ini adalah amanah yang wajib dilaksanakan sedaya upaya demi negara tercinta." katanya.