MALAYSIA
SPRM maklumkan perkembangan kes profil tinggi Selasa ini - Azam Baki

Azam berkata pihak SPRM berusaha menyelesaikan semua kes siasatan berprofil tinggi dengan segera bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat. - Foto Bernama
KUALA PILAH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memaklumkan perkembangan terkini beberapa kes berprofil tinggi termasuk siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan projek Sambungan Lebuhraya Maju (MEX II), pada Selasa ini.
Ringkasan AI
- SPRM akan memaklumkan status siasatan melibatkan bekas PM Ismail Sabri, pegawai kanan DBKL, projek MEX II, Op Sikaro, Sapura Energy dan beberapa kes lain.
- Siasatan kes rasuah DBKL selesai dan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya; pendakwaan dijangka selepas Hari Malaysia atau awal Oktober.
- Bekas PM beberapa kali hadir ke SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan promosi program Keluarga Malaysia.
"Bagi isu berkaitan DBKL, siasatan selesai, setakat ini kes dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan cadangan untuk dituduh di mahkamah, saya harap dapat dituduh selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Malaysia atau awal minggu pertama Oktober," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Raya Kampung Terentang bersempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) di sini hari ini.
Bagi kes DBKL, SPRM telah menahan tiga individu melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam, bulan lepas kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014.
Selain itu, Azam berkata pihaknya berusaha menyelesaikan semua kes siasatan berprofil tinggi dengan segera bagi mengelakkan persepsi negatif masyarakat yang mungkin menganggap SPRM melengahkan proses siasatan.
Beliau turut menjelaskan kebanyakan siasatan dipercepatkan, termasuk daripada segi penyediaan kertas siasatan, malah kebanyakan kes dikenakan tindakan punitif seperti pendakwaan di mahkamah, denda, serta tindakan dalaman oleh jabatan terlibat.
Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh pentadbirannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami