PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyeru bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau James Chai supaya segera menghubungi pegawai penyiasat serta pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Dalam kenyataan itu, SPRM memaklumkan Chai sehingga kini masih belum memberikan sebarang respons atau membuat sebarang pengaturan untuk tampil membantu siasatan, walaupun beberapa percubaan telah dibuat oleh pegawai penyiasat untuk menghubungi beliau.
Advertisement
“Sekiranya James Chai berpendirian bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, tindakan yang sewajarnya ialah tampil memberi kerjasama kepada pegawai penyiasat SPRM, bukannya mengemukakan pelbagai alasan di media massa sambil mengelak daripada berurusan secara langsung dengan proses siasatan,” menurut kenyataan berkenaan.
SPRM menegaskan bahawa penjelasan melalui naratif awam dan kenyataan media tidak boleh menggantikan proses perundangan dalam siasatan kes.
“Justeru, SPRM menggesa James Chai untuk segera menghubungi pegawai penyiasat dan memaklumkan perancangan beliau untuk pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, SPRM tidak memaklumkan lokasi keberadaan Chai.
Sementara itu, SPRM menegaskan bahawa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa penguatkuasaan adalah tanggungjawab asas setiap warganegara apabila diperlukan untuk membantu sesuatu siasatan.
Sehubungan itu, SPRM meminta Chai segera menghubungi mana-mana pegawai penyiasat bagi membincangkan pengaturan kepulangannya ke Malaysia untuk rakaman percakapan.
Antara pegawai penyiasat yang boleh dihubungi ialah Abdullah Sani A. Latib (+6018-286 8684); Mohd Hafidz Halim (+60 17-504 6503); Ahmad Rizal Samat (+60 13-433 4500); Farahani Fauzi (+60 11-3343 5523) dan Mohamed Ali M. Ahamed Ali (+60 17-300 3699).
-- BERNAMA