Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan memaki, mengherdik, menghina dan melayan dengan teruk seorang pegawai bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengarah Siasatannya, Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, SPRM menolak sekeras-kerasnya kenyataan dikeluarkan oleh wanita yang dikenali sebagai Siti Nurul Hidayah itu dalam satu rakaman video sidang media yang disiarkan di laman Facebook.

Beliau berkata, dalam rakaman berkenaan, wanita itu yang juga pemimpin sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia mendakwa telah dikerumuni empat atau lima pegawai lelaki yang turut mengugutnya.

"Sebaliknya sepanjang proses rakaman keterangan dibuat beliau telah ditemani oleh dua pegawai wanita.

"Kehadiran dia adalah secara sukarela sebagai antara saksi utama yang telah memberikan keterangan-keterangan penting dalam membantu SPRM menyiasat kes ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Norazlan berkata, SPRM akan membuat satu laporan polis berkaitan dakwaan berkenaan.


Sebelum ini, SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap aduan berhubung kehilangan wang tunai kira-kira RM250,000 milik Syed Saddiq.

Ahli Parlimen Muar itu membuat laporan polis pada 29 Mac lalu dengan berkata wang itu disimpan dalam peti besi di rumahnya.