Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menasihatkan Umno supaya merujuk kepada Lembaga Disiplin parti berkenaan sekiranya berlaku kegiatan rasuah dalam pemilihan Umno.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Shukri Abdull berkata, masalah dalaman parti terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk siasatan lanjut dan bukti.

Sekiranya terdapat bukti, SPRM bersedia mengenakan tindakan undang-undang dalam usaha untuk membanteras kegiatan tidak bermoral itu dalam mana-mana parti politik.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian kompleks Pejabat SPRM Negeri Pahang di Kuantan.

Beliau juga berharap parti politik memerangi kegiatan rasuah supaya tiada pengamal politik wang yang hanya merosakkan parti masing-masing.

Sementara itu, Kompleks SPRM Pahang yang bernilai RM27.9 juta telah siap dibina pada akhir tahun lalu dan mula beroperasi pada 1 Januari tahun ini.

Ia turut dilengkapi dengan bilik tahanan empat sel dan bilik temu bual bervideo (VIR) bagi memastikan proses soal siasat dijalankan secara telus dan tanpa paksaan.

Sementara itu, semasa mengulas mengenai isu rasuah di dalam senario bola sepak Perak, beliau berkata mana-mana persatuan bola sepak yang mengesyaki kegiatan rasuah dalam arena sukan berkenaan diminta tampil kepada SPRM dengan bukti.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat lanjut berhubung laporan kegiatan rasuah dan mengenakan tindakan undang-undang kepada mereka yang didapati bersalah.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) semalam menggantung kesemua pegawai pengurusan pasukan itu termasuk jurulatihnya, Azraai Khor Abdullah selama dua minggu ekoran kekalahan 1-6 kepada Sarawak dalam perlawanan Piala Malaysia di Kuching, Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, pihaknya juga membuat laporan polis dan kepada SPRM untuk menyiasat kemungkinan berlaku sabotaj dan rasuah ekoran kekalahan tersebut.