MALAYSIA
SPRM perkukuh kerjasama antara agensi urus pelucuthakan, pelupusan aset

Azam Baki berkata SPRM menekankan kepentingan kolaborasi serta sinergi antara agensi awam dan swasta untuk memperkukuh mekanisme pelucuthakan harta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Koordinasi antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan akan terus diperkukuh bagi memastikan proses pelucuthakan serta pelupusan aset kategori tidak alih seperti bangunan dan tanah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata penganjuran program seperti Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM hari ini merupakan antara inisiatif agensi berkenaan ke arah itu bagi memastikan kerjasama lebih erat dapat dijalinkan.
"Setiap agensi mempunyai kaedah tersendiri dalam proses ini dan bertanggungjawab memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
"SPRM menekankan kepentingan kolaborasi serta sinergi antara agensi awam dan swasta untuk memperkukuh mekanisme pelucuthakan harta," katanya ketika persidangan itu.Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan serta Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Adam.
Azam juga berkata proses pelucuthakan dan pelupusan aset kategori tidak alih penting bagi memastikan penjenayah tidak dapat menikmati hasil daripada aktiviti haram mereka sekali gus menghantar mesej jelas bahawa jenayah tidak menguntungkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami