KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara berjumlah RM600 bilion.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, SPRM mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, bukti atau dokumen berkaitan kes itu untuk tampil ke pejabat SPRM berdekatan bagi membantu siasatan.

Katanya, sekiranya perlu, SPRM akan menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkaitan dakwaan itu.

"SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut berkaitan hal itu," katanya.

Isu RM600 bilion | Terdapat peruntukan berpuluh bilion Ringgit ada pelanggaran - PM

BACA: Isu RM600 bilion: 'Tiada apa yang disorok, saya akan bekerjasama' - Tengku Zafrul

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.