Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan bahawa sumbangan wang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah daripada daripada keluarga Diraja Arab Saudi.

Perkara ini disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

"Berhubung siasatan kes RM2.6 bilion, keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, SPRM mengesahkan sumbangan tersebut diberi kepada Perdana Menteri secara peribadi daripada keluarga Diraja Arab Saudi," katanya dalam satu jawapan bertulis Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang ingin tahu apakah hasil siasatan dan rekomendasi yang dibuat SPRM kepada Peguam Negara dalam isu sumbangan RM2.6 bilion itu.

Mengenai SRC International pula, Azalina berkata SPRM telah menyatakan bahawa hasil siasatannya tidak menunjukkan bahawa Perdana Menteri terlibat rasuah.

"Berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan, Peguam Negara berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan kes-kes tersebut," tambahnya.