Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap seorang pegawai tentera berpangkat leftenan kolonel yang bertugas di Unit Senggaraan Zon Timur, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) di bawah Wisma Angkatan Tentera Malaysia.

Suspek berusia 57 tahun itu ditangkap di Pejabat SPRM Temerloh, Pahang kira-kira 2.30 petang ketika hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes yang membabitkan dirinya.

Menurut sumber, suspek yang bertanggungjawab menyelia kontraktor, memantau proses kerja, mengesahkan spesifikasi piawaian dan memperakukan tuntutan kerja oleh kontraktor di Zon Timur dipercayai telah menerima suapan daripada kontraktor-kontraktor proksi termasuk syarikat milik ayahnya yang mana isterinya merupakan pengarah syarikat tersebut.

Menerusi pengumpulan maklumat yang dibuat, suspek bagaimanapun dipercayai telah menyerahkan projek-projek tersebut kepada syarikat lain untuk menjalankan kerja-kerja penyelengaraan itu.

Daripada pembayaran yang dituntut, suspek dikatakan akan mengambil kira-kira lapan hingga 10 peratus daripada jumlah bayaran sebelum menyerahkan wang selebihnya kepada syarikat luar yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja penyelengaraan tersebut.

Tuntutan kerja projek-projek penyelengaraan dan perkhidmatan yang dianugerahkan oleh BPKP pada 2015 dan 2016 tersebut telah disahkan dan diperakui sempurna oleh suspek.

Difahamkan, setelah mendapat bayaran tuntutan-tuntutan kerja daripada Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan, syarikat-syarikat proksi dipercayai telah menyalurkan sejumlah wang kepada suspek menerusi akaun sekutu atau secara tunai.

Terdapat syarikat sekutu suspek mempunyai transaksi kemasukan melebihi RM1 juta dalam tempoh 2 tahun sejak 2014 dan pengeluaran dalam jumlah mencurigakan secara tunai dan cek walaupun sekutu suspek tersebut hanya merupakan pesara tentera berpangkat rendah.

Suspek dikatakan menggunakan modus operandi yang sama ke atas lebih 50 syarikat yang beroperasi di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Sumber juga memberitahu, SPRM percaya perkara sebegini berlaku di setiap zon yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan setiap tahun.

"SPRM masih meneliti banyak maklumat yang diterima berhubung kegiatan ini yang telah berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan percaya terdapat penglibatan pelbagai pihak termasuk pengurusan tertinggi," ujarnya.

Difahamkan, siasatan awal mendapati semua tuntutan yang dibuat oleh suspek akan diluluskan di peringkat ibu pejabat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lagi berhubung siasatan kes itu.