Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan siasatan berhubung isu derma RM2.6 bilion atas nasihat Panel Penilaian Operasi (PPO).

Panel itu juga menasihatkan agar suruhanjaya berkenaan menghantar semula kertas siasatan terhadap SRC International Sdn. Bhd. kepada Peguam Negara untuk semakan semula.

"Serentak itu PPO bersetuju dengan tindakan SPRM menghantar semula kertas siasatan berhubung SRC International kepada Peguam Negara untuk disemak semula," kata agensi itu dalam satu kenyataan pada petang Rabu.

Panel berkenaan turut mencadangkan kepada SPRM untuk meminta bantuan peguam negara mengeluarkan Bantuan Perundangan Bersama, (MLA) bagi membolehkan SPRM mendapatkan bukti dan dokumen daripada institusi kewangan di luar negara.

Ia sebagai sebahagian daripada proses siasatan terhadap derma RM2.6 bilion yang masih belum selesai.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan PPO memaklumkan mereka telah diberikan taklimat berhubung perkembangan terkini terhadap kes SRC International dan dana RM2.6 bilion oleh SPRM.

"Panel Penilaian Operasi telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada SPRM untuk meneruskan siasatan." kata kenyataan itu.

Panel berkenaan turut memuji SPRM kerana menunjukkan profesionalisme, dedikasi dan intergiriti dalam menjalankan tugasnya.

Pada 26 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini membersihkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Beliau mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes berkenaan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ia ditutup.

PPO ialah sebuah badan bebas yang dibentuk kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM.