MALAYSIA
SPWinds raih Anugerah Emas di Festival Orkestra Dunia Vienna

Pasukan Orkestra SPWinds, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya merakamkan gambar kenangan selepas pertandingan Festival Orkestra Dunia ke-11 di Vienna.
CYBERJAYA: Orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih Anugerah Emas dalam Festival Orkestra Dunia ke-11 yang berlangsung di Vienna, Austria dari 23 hingga 26 Julai lalu.
Sebagai wakil tunggal Malaysia, seramai 66 pelajar berumur antara 13 hingga 17 tahun daripada Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya, telah menyertai kategori Remaja bagi Orkestra Alat Muzik Tiupan dan Brass.
Mereka mempersembahkan dua karya mencabar: Amana oleh Hiroaki Kataoka dan komposisi tempatan Rai dan Tari oleh Yeo Chow Shern.
Lebih membanggakan, konduktor orkestra, Raja Muzafar Shah turut dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik atas kepimpinan dan arahannya yang cemerlang sepanjang pertandingan.
“Ini bukan sekadar kemenangan dalam muzik, tetapi juga bukti ketabahan, disiplin dan semangat luar biasa pelajar-pelajar kami,” kata Pengetua Cemerlang SSP, Puan Julaila Yahya, yang mengetuai delegasi ke Austria.
“Melihat mereka mengharumkan nama negara di pentas dunia adalah detik yang tidak akan kami lupakan.”
Festival berprestij itu disokong oleh Kementerian Pendidikan, Seni dan Budaya Austria dan Universiti Muzik dan Seni Persembahan Vienna, serta menghimpunkan lebih 20 orkestra dari 10 negara.
Persembahan berlangsung di beberapa lokasi ikonik seperti Wiener Musikverein (Golden Hall), House of Strauss dan MuTh Concert Hall.
Selain bertanding, SPWinds turut mempersembahkan lagu-lagu tradisional Melayu seperti Cindai, Wau Bulan, dan Umpan Jinak Di Air Tenang dalam empat konsert sepanjang festival, sekali gus memperkenalkan keindahan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Kejayaan mereka turut disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke Austria, Ikram Mohammad Ibrahim bersama pegawai Kedutaan, para guru serta ibu bapa yang memberikan sokongan penuh sepanjang acara.
Penyertaan SPWinds adalah hasil permohonan rasmi dan saringan teliti oleh Jawatankuasa Festival, mencerminkan tahap persediaan, komitmen dan dedikasi tinggi seluruh pasukan.
Kemenangan ini menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam legasi SPWinds sebagai antara orkestra sekolah terbaik di Malaysia, yang bukan sahaja menyerlah dalam aspek teknikal muzik tetapi turut mengangkat identiti budaya negara ke peringkat dunia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami