NATIONAL
SRBJ dinaik taraf berperingkat libat peruntukan lebih RM30 juta

Onn Hafiz berkata, peruntukan tersebut adalah daripada kerajaan negeri sebanyak RM6.22 juta sementara RM24 juta merupakan tajaan syarikat swasta. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Empat Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) akan dinaik taraf secara berperingkat bermula hujung bulan ini dengan peruntukan lebih RM30 juta, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz berkata peruntukan tersebut adalah daripada kerajaan negeri sebanyak RM6.22 juta sementara RM24 juta merupakan tajaan syarikat swasta.
Beliau berkata sekolah terlibat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara, akan dilengkapi pelbagai kemudahan berkonsepkan sekolah pintar selain turut menerapkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Ini merupakan antara cadangan kita untuk menaik taraf empat sekolah berkenaan namun naik taraf sahaja tidak mencukupi sebab cita-cita kita cukup besar menjelang 2030."Kita mahu Johor menjadi negeri maju dan kalau hendak naik taraf infrastruktur sahaja tidak mencukupi sebaliknya kita perlu anjakan paradigma, satu gelombang besar-besaran untuk pastikan kita benar-benar maju dan ia bermula dengan pendidikan," katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Ibu Bapa SRBJ di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah.
Sementara itu, Aznan pada sidang media berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor turut bekerjasama dengan Apple Education dalam memperkasakan SRBJ.
Beliau berkata menerusi tajaan daripada QSR Brands, sebanyak 2,496 unit tablet (iPad) dibekalkan bagi kegunaan pembelajaran 2,264 murid dan 213 guru SRBJ.
"Empat sekolah SRBJ ini turut terpilih sebagai Apple Distinguished Schools. Terdapat 1,000 sekolah di dunia terpilih (Apple Distinguished Schools) dan di Malaysia hanya sembilan sekolah yang terpilih.
"Lima daripadanya adalah sekolah berasrama penuh, ini sekali gus menjadikan sekolah kita ini sebagai satu-satunya sekolah harian yang terpilih di negara ini," katanya.
Aznan berkata kerajaan negeri turut berhasrat menjadikan peperiksaan Primary School Leaving Examination (PSLE) dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) sebagai penanda aras dalam usaha bagi meningkatkan mutu pendidikan SRBJ.
"Keupayaan pelajar ini harus dinilai dahulu sebelum mereka (boleh) ambil peperiksaan (PSLE dan IGCSE). Jadi buat masa ini standard soalan peperiksaan (seperti PSLE dan IGCSE) akan turut menjadi penanda aras kita," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami