TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 1,016 premis perniagaan dan mengeluarkan 24 notis dalam Ops Kesan yang bermula 1 Mac lepas, susulan kenaikan kenaikan kadar cukai perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata peniaga yang menerima notis itu perlu memberikan maklum balas dalam tempoh empat hari kepada kementerian berhubung pelarasan harga barang dan perkhidmatan yang dibuat di premis terlibat.

Beliau berkata maklum balas itu diperlukan agar pihak KPDN dapat meneliti sama ada pelarasan harga dibuat perniaga itu selari dan tidak bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Sebanyak 24 notis itu (adalah) lebih kurang kadar 2.3 peratus daripada premis telah kita siasat dan penguatkuasaan ini akan kita teruskan dan KPDN mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk memberi aduan di platform rasmi KPDN.

"Kita berharap juga pada peniaga untuk tidak ambil kesempatan memanipulasi harga yang kita anggap merupakan satu aspek pencatutan sabotaj daripada inisiatif dilakukan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja rasmi ke Pulau Sebatik dekat sini hari ini.

Menurutnya KPDN melancarkan Ops Kesan berkenaan bagi memantau implikasi pelaksanaan kenaikan SST itu termasuk pemantauan kepada sektor tidak terlibat dengan SST seperti makanan dan minuman supaya tiada peniaga mengambil kesempatan menaikan harga sewenang-wenangnya.

Armizan turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai dalam memberikan maklumat berserta bukti terhadap apa sahaja kesalahan yang dikesan melibatkan SST atau berkaitan KPDN dengan melaporkan aduan ke platform rasmi kementerian itu.

-- BERNAMA