‘Status Quo’ dalam Pemilihan UMNO kali ini dilihat masih lagi menjadi pilihan perwakilan dimana dua penyandang jawatan Naib Presiden pada pemilihan lalu masih mengekalkan jawatan mereka.

Sehingga jam 12 tengah malam tadi, ketiga-tiga penyandang Naib Presiden bagi pemilihan lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan jawatan mereka sekali lagi.

Timbalan Dekan FSKK, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata meskipun kebanyakkan keputusan yang diperoleh bersifat ‘status quo’, corak pengisian perjuang perlu ditekankan oleh orang yang memenangi pemilihan kali ini.

“Walaupun ‘status quo’ itu dipilih, apa yang diperlukan adalah pengisian itu iaitu bagaimana mereka yang dipilih ini akan memperjuangkan dalam memenuhi kehendak-kehendak akar umbi dan saya percaya akan wujudnya satu perubahan sikap terhadap ‘approach’ dan budaya dalam UMNO itu sendiri,” kata Mohd Fuad ketika menjadi tetamu dalam Analisis AWANI malam semalam.

Beliau menambah, ini merupakan harapan perwakilan meskipun keputusan yang diperoleh lebih bersifat ‘status quo’ namun, satu perubahan dan transformasi perlu dimasukkan dalam setiap hala tuju parti itu.

Beliau turut mengulas, kekalahan Datuk Saifuddin Abdullah dalam menempatkan diri untuk satu tempat dalam Majlis Tertinggi UMNO juga dilihat sebagai penolakkan akar umbi terhadap cara dan pemikiran beliau untuk parti.

“Beliau telah tewas dalam PRU lalu dan kini, gagal pula untuk menempatkan diri dalam Majlis Tertinggi UMNO dan apa yang saya Nampak ini berkemungkinan beliau ini tidak selalu turun ke akar umbi untuk memahami masalah akar umbi maka kita dapat lihat beberapa bahagian UMNO menolak beliau,” katanya lagi.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kajian Etnik, (KITA), (UKM) Prof Dr Mansor Mohd Noor pula menyifatkan keputusan ‘status quo’ perlu diubah dari sudut cara pentadbiran dan urus negara ini.

“Kalau pemenang-pemenang ‘status quo’ ini hendak mentadbir dan cuba mengurus negara dari perspektif yang masih sama, maka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO tak semestinya boleh mempertahankan kekuasaannya kerana masyarakat sudah berubah,” kata Mansor.