KUALA LUMPUR: Status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian lebih RM2 bilion milik Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis di Mahkamah Tinggi Syariah di sini membabitkan balu Allahyarham, Puan Sri Kalsom Ismail, empat anak dan ibu mentuanya diketahui pada Rabu.

Ia selepas peguam syarie, Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 67, selaku plaintif berkata, peguam syarie utama, Datuk Sulaiman Abdullah tidak hadir ke mahkamah kerana menghadiri mesyuarat di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) di Putrajaya.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd Hamid, Nor Husniah berkata, pihak plaintif telah menulis surat kepada mahkamah pada 18 April lalu bagi menangguh kes itu.

"Kami percaya beliau (Sulaiman) ialah peguam yang terbaik bagi pengesahan mengenai status penyelesaian kes tuntutan harta sepencarian ini.

"Dalam pada itu, saya ingin maklumkan, mahkamah telah membenarkan kes ini dibuat secara tertutup, jadi saya mohon arahan sama bagi prosiding hari ini," katanya.

Sementara itu, peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 89, selaku defendan kelima berkata, pihaknya membantah penangguhan kes dan memohon prosiding bersambung dalam masa terdekat.

Abdul Shukor kemudiannya membenarkan permohonan peguam plaintif dan meminta kesemua pihak hadir pada jam 2.30 petang untuk maklumkan perkembangan status berkenaan.

Ketika ditemui selepas prosiding, Nur Hidayah berkata, status itu sepatutnya diketahui dalam prosiding kali ini, namun ditangguhkan susulan peguam utama Kalsom tidak dapat hadir ke mahkamah.

“Plaintif memohon untuk peguam utamanya memaklumkan mengenai status penyelesaian berkenaan.

“Peguam terbabit tidak dapat hadir dan mahkamah minta pihak-pihak hadir jam 2.30 petang esok untuk maklumkan status berkenaan,” katanya selepas sebutan kes.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang daripada pernyataan tuntutan.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva. — Sinar Harian