KUALA LUMPUR: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menerima dua pengiktirafan tertinggi iaitu ‘Nation's Pride Award’ dalam kecemerlangan promosi pelancongan dan ‘CEO of the Year – Pelancongan’ kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharzede Datu Salleh Askor pada Anugerah Jenama Terbaik BrandLaureate 2022-2023.

Dianjurkan oleh The World Brands Foundation, Anugerah BrandLaureate BestBrands mengiktiraf jenama perintis yang menunjukkan strategi dan penempatan jenama yang luar biasa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MPIS) Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memuji pencapaian dan komitmen STB dalam mempamerkan kepelbagaian keunikan yang ada di negeri tersebut.

“Ia meliputi keindahan alam semula jadi di Sarawak, warisan budaya, tawaran pelancongan pengembaraan yang menggembirakan dan dedikasi tidak berbelah bahagi kepada amalan pelancongan mampan serta bertanggungjawab.

“‘Nation's Pride Award’ dan 'Brandleadership Award' untuk Sharzede menjadi bukti dedikasi tanpa henti STB dalam mempamerkan khazanah di negeri ini.

“Usaha gigih mereka bukan sahaja telah memartabatkan Sarawak di pentas pelancongan global tetapi juga memperkayakan kehidupan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Di bawah Nation's Pride Award bagi Kecemerlangan Promosi Pelancongan, STB diiktiraf sebagai jenama; strategi jenama; inovasi jenama; komunikasi jenama dan budaya jenama.

Anugerah Brandleadership Award kepada Sharzede mengiktiraf dedikasi beliau  dalam meneraju pelbagai inisiatif meletakkan Sarawak sebagai ikon pelancongan global dan destinasi ekopelancongan terkemuka di Asia Tenggara.

Ia menerusi usahanya dalam mengangkat tema Pelancongan Bertanggungjawab sebagai pendekatan teras selaras dengan kempen pemasaran STB ‘Sarawak, More to Discover’.

Dalam pada itu, STB dalam kenyataan sama berkata, di bawah bimbingan MPIS, pihaknya berjaya menunjukkan pencapaian terbaik pada tahun 2023, ia termasuk setelah dianugerahkan menjadi ahli gabungan kepada Pertubuhan Pelancongan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO).

“Ia membolehkan STB menyertai usaha berterusan UNWTO untuk menghimpunkan pemain ekosistem pelancongan bertanggungjawab di bawah keutamaan kemampanannya dalam pelancongan.

“Satu lagi pencapaian pada tahun 2023 adalah kejayaan terbaik penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) yang diraikan kerana komitmen kuatnya terhadap amalan pelancongan bertanggungjawab,” ujarnya.

Bukan sahaja festival itu menjadi acara ikonik yang meraikan warisan budaya Sarawak, RWMF juga berfungsi sebagai platform kepada pelbagai artis dari seluruh dunia untuk bersatu secara harmoni melalui bahasa universal muzik dan seni sambil memegang prinsip pelancongan bertanggungjawab.

Sebagai rekod, setakat Julai lalu, Sarawak mencatatkan jumlah ketibaan pelawat mencecah 2.27 juta pengunjung dengan lebih sejuta pelancong asing.

Sasaran dalam merekodkan sebanyak tiga juta pelancong ke negeri tersebut dilihat mampu dicapai melihat kepada keberkesanan inisiatif dan strategi STB dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menarik serta bertanggungjawab.