KOTA KINABALU: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sudah meminta Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu stoking kalimah Allah yang dikaitkan dengan sebuah kedai serbaneka, KK Mart baru-baru ini.

Ahli MKT, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia bukan berkaitan sama ada bersetuju atau tidak dengan tindakan Dr Akmal berhubung isu berkenaan, tapi keputusan sudahpun dibuat mengenainya.

"Presiden UMNO pun telah meminta Ketua Pemuda Akmal (menghentikannya), mungkin KK Mart tidak mempunyai perancangan atau strategi untuk perkara itu dan apabila disiasat polis, ia telah dimaklumkan.

"Kita pun menerima hakikat bahawa perkara itu perlu dihentikan dan Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya mana-mana pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu untuk menghentikan isu ini dan bagi saya itu sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim di sini pada Selasa.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian di media sosial Dr Akmal dilihat kali terakhir membuat hantaran mengenai isu KK Mart pada Selasa.

Beliau kemudian beralih kepada isu boikot usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berhubung tindakan pempengaruh itu yang mengeluarkan video lagu raya yang tidak menjaga sensitiviti umat Islam.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah meminta segelintir pihak di negeri ini supaya tidak mengaitkan partinya itu sebagai parti ekstremis.

Menurutnya, UMNO Sabah tidak terkesan dengan isu tersebut, namun baru-baru ini ada kenyataan daripada seorang pemimpin veteran di negeri ini yang mengajak rakyat menolak UMNO Sabah.

"Saya ketawa kenapa tiba-tiba Datuk James Ligunjang selepas 25 tahun bukan lagi ahli Parlimen tiba-tiba komen mengaitkan UMNO Sabah sebagai ekstremis.

"Tapi semua tahu UMNO Sabah, kami bukan ekstremis mengenai agama, mengenai suku bangsa. Seperti saya, setiap hari bersama mereka yang bukan beragama Islam, makan bersama-sama, buat kerja bersama-sama, UMNO turun padang pun ramai rakyat bukan beragama Islam yang ikut saya.

"Jadi saya minta beliau tutup mulut dan jaga saja parti sendiri, jangan nilai UMNO seperti ini," tegasnya. - Sinar Harian