KOTA KINABALU: Sebuah stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kopungit di sini malam tadi.

Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam turut tertimbus dalam kejadian itu.

"Kejadian berlaku malam tadi, bagaimanapun JBPM Sabah hanya menerima laporan kejadian itu pada pukul 11.19 pagi tadi...tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu. Tiada operasi yang dilakukan hanya memantau dan mengambil maklumat di lokasi kejadian.

"Bomba telah menyampaikan maklumat kepada pihak polis agar memaklumkan kepada ketua kampung untuk mengarahkan penduduk mengosongkan rumah di kawasan sekitar sebagai langkah keselamatan," menurut kenyataan itu.

JBPM Sabah telah memasang sawar di kawasan kejadian sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk berlaku selain memastikan orang ramai tidak memasuki kawasan tersebut.

"Pihak bomba juga menyarankan agar polis memaklumkan kepada pihak kejuruteraan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menganalisis kawasan tanah runtuh untuk mengetahui punca sebenar kejadian. Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada 12:30 tengah hari tadi," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Sheldon Elve Gungkit, 30, yang tinggal berhampiran lokasi kejadian itu berkata kejadian itu sebenarnya berlaku sekitar pukul 6.30 petang semalam.

"Pada mulanya tanah hanya runtuh sikit-sikit..namun kira-kira pukul 11 malam saya dengar bunyi hentakan yang kuat, macam durian jatuh.

"Bila saya keluar, saya nampak tanah sudah runtuh dan rumah saya hampir terkena dalam kejadian tanah runtuh berkenaan, nasib baik tiada penduduk yang terlibat dan kami semua selamat," katanya.

-- BERNAMA