KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang ditahan berhubung kes dera kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Jumaat lepas, akan didakwa di Mahkamah Bandar Baru Bangi, dekat sini, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berkata kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk Timbalan Pendakwa Raya Selangor hari ini dan telah mendapat arahan untuk mendakwa kedua-dua individu berusia 28 dan 30 tahun.

Menurutnya, kedua-dua individu itu akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan.

Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Suami wanita itu yang juga warga Singapura juga akan dituduh di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa di Malaysia dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dera Kanak-Kanak | Polis rakam keterangan 11 individu

BACA: Pasangan suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak perempuan

Jumaat lepas, media melaporkan sepasang suami isteri ditahan reman selama tujuh hari selepas disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Beranang, Selangor.

Kanak-kanak itu yang merupakan anak seorang wanita Indonesia diserahkan kepada pasangan tersebut pada April, dikatakan dipukul menggunakan penyangkut pakaian, kayu penyapu dan dicucuh dengan pemetik api.

-- BERNAMA