Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan seorang wanita Indonesia dengan eksploitasi bekerja secara paksa, awal bulan lepas.

G.David, 51, dan isterinya, A. Indra Ganthi, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Kedua-dua mereka didakwa bersama-sama memperdagang wanita berumur 60 tahun itu bagi maksud mengeksploitasi kerja secara paksa di sebuah rumah di Taman Sri Putri, Skudai, di sini, kira-kira 2.30 petang, 4 Dis lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir menawarkan jaminan RM50,000 setiap seorang, namun, peguam Tharamjit Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan kedua-dua tertuduh mempunyai tiga anak berumur 19, 15 dan 11 tahun.

Mohammad Khalid kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dengan seorang penjamin.

--BERNAMA