TAWAU: Pasangan suami isteri ditemui rentung, manakala tujuh lagi yang lain melecur dalam insiden kebakaran 40 rumah di penempatan setinggan, Kampung Sungai Buaya, Batu 2 1/2, Jalan Apas, tengah malam tadi.

Pasangan itu dikenal pasti sebagai Saiful Rosli, 32 tahun dan isterinya Jumaidah M. Jida, 36 tahun ditemui rentung di rumah mereka masing-masing pada jam 4.45 dan 5.50 pagi Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mangsa dipercayai terperangkap di dalam rumah dan gagal menyelamatkan diri.

Manakala, tujuh mangsa yang melecur pula, katanya, terdiri daripada empat kanak-kanak berusia di antara enam dan 12 tahun, seorang remaja perempuan, 18, dan dua lelaki berumur 26 dan 45 tahun.

"Mereka mengalami kecederaan melecur antara satu hingga 86 peratus," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Foto: Ihsan JBPM Tawau

Tambahnya, kesemua mangsa melecur dikejarkan ke Hospital Tawau oleh orang awam sebelum ketibaan pasukannya.

Terdahulu, kata Julius seramai 26 pegawai dan anggota serta lima jentera, termasuk utiliti dikerah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 12.32 tengah malam menerusi MERS 999.

Menurutnya, kebakaran itu melibatkan 40 rumah setinggan jenis tidak kekal dengan keluasan 100 x 50 meter yang terbakar 100 peratus.

"Pasukan bomba menggunakan sumber air dari tangki jentera dan sumber air terbuka iaitu parit serta berjaya mengawal api dari terus merebak pada jam 2.07 pagi," katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.20 pagi.