AMPANG: Seorang wanita menempuh detik mencemaskan apabila dilarikan dua individu termasuk suaminya sendiri dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang, 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan diterima daripada mangsa berumur 38 tahun yang merupakan isteri ketiga suspek dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam lif pangsapuri berkenaan diminta oleh dua individu tidak dikenali untuk berjumpa suaminya yang merupakan seorang pengurus pusat tahfiz.

"Mangsa kemudiannya akur dan berjumpa suaminya itu sebelum dilarikan suspek menaiki sebuah kereta," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah 'homestay' di Pasir Puteh, Kelantan.

"Mangsa mendakwa terpaksa mengikut suaminya itu tanpa kerelaan telah dikurung dalam 'homestay' berkenaan sebelum berjaya melarikan diri pada 13 Oktober kira-kira jam 12.30 pagi.

"Mangsa ke balai polis dengan bantuan penduduk kampung berhampiran untuk membuat laporan," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan terhadap dua individu di Taman Ampang Mewah di sini pada Khamis.

"Suspek pertama diberkas merupakan suami mangsa berumur 39 tahun serta memiliki rekod jenayah lampau manakala suspek kedua merupakan rakannya yang berumur 30 tahun dan bekerja sebagai pembantu tahfiz.

"Siasatan dijalankan mendapati kejadian berpunca mangsa enggan mengikuti suspek untuk bercuti di Kelantan serta enggan untuk mendaftar taraf perkahwinan," katanya.

Mohd Azam berkata kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian